Wednesday, May 7, 2008

1,000 penduduk bantah di bandar Mahkota - Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | May 7, 08 5:48pm

Kira-kira 1,000 penduduk di taman perumahan di bandar Mahkota di Cheras berhimpun petang ini bagi menghalang syarikat konsesi - Grand Saga - membina semula tembok menutup jalan masuk ke perumahan mereka.

Mereka mula berkumpul tengahari tadi selepas mendapat tahu yang syarikat berkenaan akan memulakan kerja membina tembok penghalang tersebut.

Sebelum ini, tembok penghalang di situ telah dibuang pada 21 April lalu, selepas bantahan keras dari penduduk yang sama.

Pada kira-kira jam 3 petang, para pekerja dilihat mahu memulakan kerja-kerja pembinaan tembok di situ tetapi dihalang oleh penduduk terbabit.

Menurut pengerusi jawatankuasa bukan jalan, Tan Boon Wah, beliau telah merampas kunci jentolak yang digunakan untuk membina tembok tersebut.

Manakala ada juga yang bertindak nekad duduk di tempat di mana tembok itu sepatutnya dibina.

Kemudian, kira-kira jam 4.50 petang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menghantar seorang pegawai dari Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengarahkan syarikat konsesi itu menangguhkan kerja tersebut.

Tetapi pengarah eksekutif syarikat konsesi tersebut, Zainal Abidin Ali menafikan menerima sebarang arahan daripada LLM.

Sebaliknya, tegas beliau, pihaknya akan meneruska kerja untuk membina tembok menutup jalan tersebut, demi keselamatan lalulintas di situ.

Selepas itu, penduduk dilihat mula bersurai tetapi menjadi kecoh semula apabila mereka melihat lapan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU), termasuk meriam air tiba di situ.

Ia menyebabkan berlaku kesesakan lalulintas yang teruk. Polis juga mengadakan sekatan di jalan tersebut.

Selepas rundingan antara ahli parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching dengan pihak polis, penduduk di situ diarah bersurai.

Menurut Teo, polis menerima arahan daripada peguam negara supaya jalan tersebut mesti ditutup semula.

Pada jam 6.45 petang, polis mengeluarkan arahan kepada penduduk yang berkumpul di situ supaya bersurai.

Bagaimanapun, penduduk tidak bergerak. Ekoran itu, anggota FRU menggunakan perisai untuk menyuraikan mereka.

Terbaru, pekerja syarikat konsesi telah memasangkan tembok penghalang di situ, manakala orang ramai mengejek mereka.

1 comment:

Johnny Ong said...

blogged abt it too - http://johnny-ong.blogspot.com/2008/05/grand-saga-vs-bandar-mahkota-cheras.html