Wednesday, April 30, 2008

Tiada kuasa tangkap pekerja asing - Malaysiakini

Oleh Muda Mohd Noor | Apr 30, 08 4:41pm

Dewan Bandaraya Kuala Lumpurl (DBKL) tidak boleh mengambil tindakan ke atas pembantu kedai warga asing kerana perkara itu bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen, kata pengarah jabatan peniaga kecil dewan itu Ibrahim Yusof.

"Kami hanya boleh mengambil tindakan ke atas pemilik gerai terbabit," katanya kepada pemberita di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, peniaga yang mengupah pekerja asing boleh didenda RM300 untuk kesalahan pertama, kesalahan kedua RM600 dan seterusnya boleh dibawa ke mahkamah jika terus berdegil

Menurutnya, DBKL telah mengenal pasti sebanyak 473 lesen peniaga kecil telah disewakan kepada orang asing dan pihaknya telah membatalkan lesen-lesen tersebut.

"Manakala jumlah penjaja haram ialah 5,000 orang tetapi kita sukar untuk mengesan mereka kerana bijak melarikan diri apabila penguatkuasa DBKL membuat operasi," katanya.

Ibrahim berkata, kawasan-kawan yang menjadi tumpuan peniaga yang menggunakan khidmat pekerja asing antaranya di sekitar Pasar Pudu, Jalan Petaling dan pasar borong di Selayang.

"Kita mengenal pasti 61 penjaja di Jalan Petaling menggunakan pekerja asing," katanya lagi.

Beliau berkata, pemegang lesen penjaja kecil tidak boleh menyewakan kepada warga asing atau menggaji mereka seperti syarat undang-undang kecil perlesenan penjaja dan gerai (Wilayah Persekutuan Kuaal Lumpur) 1989.

Ibrahim juga menjelaskan, pihaknya sedang berusaha untuk memindahkan penjaja di tepi jalan ke tempat niaga di dalam bangunan pada tahun 2012.

Katanya, DBKL mengambil keputusan untuk tidak menggalakkan lagi penjaja di tepi jalan kerana jumlah yang ada sudah ramai.

No comments: